
Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana masih memberikan kita kekuatan dan kesempatan untuk bertemu dengan Ramadhan pada tahun ini. Sedar tidak sedar, sudah setahun berlalu dan sudah setahun jugalah blog ini wujud menemani saya dan anda.
Mengimbas semula Ramadhan yang lalu, apakah kita telah berubah? Sudahkah kita bergraduat daripada kesesatan dan kemaksiatan yang lalu? Dapatkah kita memperbaiki diri dan kehidupan kita? Sudahkah kita menunaikan apa yang kita janjikan pada diri kita?
Ramadhan adalah bulan yang boleh diibaratkan sebagai sebuah universiti kehidupan sebenar manusia. Dalam bulan ini, kita banyak dididik dengan cara hidup yang paling berkualiti. Dalam bulan ini juga, kita paling mudah untuk menerima teguran dan didikan. Seharusnya, setelah berlalu Ramadhan, kita mestilah bergraduat dan membina hidup yang lebih sempurna. Itupun sekiranya kita benar-benar menghayati Ramadhan dan melaksanakan apa yang dikita sebutkan sebagai berpuasa. Maksudnya, jika sehabis Ramadhan ini kita masih berada pada takuk yang lama atau lebih suka saya sebutkan sebagai 'status quo', bermaksud, puasa kita masih belum cukup sifatnya, dan beriltizamlah untuk memperbaikinya pada Ramadhan yang akan datang.
Pada kesempatan Ramadhan ini juga, seharusnya kita banyakkan berdoa kepada Allah terutamanya untuk menguatkan iman kita, menguatkan fikiran kita, menguatkan fizikal kita dan terutama sekali mempertemukan kita dengan Ramadhan yang akan datang supaya kita dapat menebus kesilapan dan dosa-dosa yang pernah kita lakukan, sama ada yang kita sedari ataupun tidak. Dan berdoalah untuk kesejahteraan Muslim seluruh dunia. Doakanlah agar Islam kukuh dan dilindungi oleh Allah. Doakanlah agar musuh-musuh Islam terhapus daripada muka bumi ini.
Semoga sedikit kata-kata ini akan dapat membuka mata hati kita untuk memperbaiki diri dalam bulan Ramadhan yang datang hanya sekali dalam setahun. Jalanilah kehidupan sehari-harian seperti biasa, dan tambahkanlah amalan-amalan yang sepatutnya. Insya-Allah kita akan diberkati oleh-Nya.
No comments:
Post a Comment